Bapanya menjadi tajuk utama akhbar apabila dia menawarkan HK$500 juta (RM200 juta) kepada mana-mana lelaki yang berjaya menawan hati dan berkahwin dengan anak perempuannya yang lesbian.
Walaubagaimanapun, daripada terasa terhina, Gigi Chao, anak perempuan hartawan Hong Kong Cecil Chao Sze-Tsung yang membuat tawaran itu, mendapati episod ini sebagai "agak menghiburkan".
South China Morning Post, yang menemuramah Gigi berkata, wanita berumur 33 tahun itu gelihati dengan tindakan bapanya. Beliau percaya bapanya "suka perhatian".
"Ayah saya mempunyai tafsiran yang 'menarik' tentang saya," katanya.
Minggu lalu, media Beijing melaporkan Gigi telah berkahwin dengan teman wanitanya Sean Eav, setelah tujuh tahun bersama, di Perancis lima bulan lalu.
Walaupun negara itu masih belum mengiktiraf perkahwinan sama seks dari sisi undang-undang, ia difahami bahawa kedua-dua mempelai berkahwin di sebuah gereja.
Ditanya jika bapanya marah tentang perkahwinannya, tambah-tambah lagi kerana beliau terkenal dengan gaya hidup heteroseksual setelah dikatakan meniduri 10,000 wanita, Gigi menjawab: "Dia memang suka perhatian".
Bila ditanya sama ada dia benar telah "berkahwin", beliau berkata dia tidak akan mengesahkan atau menafikan khabar angin itu. Begitu juga apabila ditanya tentang orientasi seksualnya: "Saya tidak takut untuk mengakui apa-apa, saya cuma mahu menghormati ibu bapa saya," katanya.
Pada Isnin lepas, Cecil, 76, menafikan Gigi telah berkahwin. Pemilik Cheuk Nang (Holdings) itu kemudian memulakan satu "pemburuan" untuk seorang pengantin lelaki. Cecil berkata, mana-mana lelaki yang berbakat dan berhati murni boleh mendekati beliau, dan dia akan bayar lelaki itu HK$500 juta atau lima kali ganda hadiah wang loteri Mark Six minggu lalu, jika lelaki itu berjaya menawan hati anak perempuannya itu.
Kata Gigi: "Kadang-kadang orang enggan untuk terima hakikat. Biarlah masa menjadi saksi."
Eav, yang juga terlibat dalam saga itu, rasa OK, katanya.
Dari segi penerimaan homoseksualiti, Hong Kong masih lebih konservatif daripada Eropah atau Amerika Syarikat. "Ia masih merupakan isu yang tidak selesa untuk ramai orang," kata Gigi.
Walaupun penampilannya kosmopolitan, beliau berkata Hong Kong sememangnya terlalu konvensional.
"Bandar itu sangat tradisional kerana nilai kekeluargaannya yang tinggi. Ia berbeza daripada Amerika Syarikat atau tanah besar China, di mana orang ramai berpindah dari desa ke bandar adalah perkara biasa," katanya. Beliau menambah, dalam berbuat demikian, anak-anak muda mendapat kebebasan untuk mengamalkan apa-apa gaya hidup.
Penduduk Hong Kong, sebaliknya, biasanya akan kembali ke tempat kelahiran mereka selepas mendapat pendidikan di luar negara.
Dalam setahun lepas, bintang Canto-pop Anthony Wong Yiu-ming dan pelakon Susanna Kwan Kuk-ying telah mengakui diri mereka 'gay'. Bandar ini juga buat pertaman kalinya telah memilih seorang ahli parlimen gay, iaitu radio dan hos televisyen "Slow Beat" Raymond Chan Chi-Chuen.
Wong, yang telah mengumumkan homoseksualitinya awal tahun ini, berkata beliau gembira tentang "perkahwinan" Gigi dan memujinya sebagai "berani".
"Elok untuk ada seorang tokoh awam yang menyokong homoseksualiti. Ia menyenangkan mereka-mereka yang lain yang masih hidup dalam ketakutan, yang tak berani mengaku lagi," katanya.
Gigi berkata, ramai yang dalam komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) bukannya sengaja hendak menyembunyikan identiti mereka, tetapi takut mereka akan menghadapi diskriminasi jika orang ramai tahu.
Katanya, pengubahan sikap adalah lebih berkesan daripada menetapkan undang-undang anti-diskriminasi. "Mengubah undang-undang bukan suatu keutamaan," katanya.
Tawaran Cecil, yang juga pemilik pemaju Cheuk Nang, untuk membayar HK$500 juta kepada mana-mana lelaki yang boleh mengahwini Gigi, telah menjadi topik hangat dalam komuniti LGBT tempatan.
Seorang aktivis hak asasi gay berkata, Cecil perlu menggugurkan ideanya dan memperbaiki hubungan beliau dengan anak perempuannya.
"Encik Chao membuang masa dan wang ... dia merosakkan hubungannya dengan anak perempuannya," kata Reggie Ho, pengerusi Pink Alliance iaitu kumpulan advokasi seksual minoriti. "Pada hakikatnya, idea Cecil Chao sangat memalukan. Ini hanya menghina anak perempuannya dan patahkan hatinya."
Ho memuji Gigi dan pasangannya kerana telah mengorak langkah yang berani.
"Ramai ibu bapa mempunyai masalah untuk berurusan dengan hubungan sama seks anak-anak mereka. Mereka berfikir ianya bukan cinta sejati," kata Ho.
"Tetapi jika mereka boleh duduk berbincang dengan anak-anak mereka ... ia tidaklah negatif sepertimana mereka bayangkan."
-md/scmp