Followers

Digital clock

Sunday, 13 January 2013

Mangsa tebusan penjenayah lolos bercerita...



Seorang remaja yang dijadikan tebusan oleh salah seorang tahanan yang lolos dalam kejadian Isnin lepas melalui detik cemas selama empat jam ketika "bersama" dengan lelaki itu semalam.

Mohd. Khairul Anas Fazli, 20, berkata beliau dipaksa oleh tahanan itu, Mohd. Khairulnizam Abdul Rani, 26, untuk membawanya ke beberapa lokasi di sekitar Sungai Bakap dan Bukit Mertajam untuk menemui anggota keluarga dan kenalan lelaki itu.

Menceritakan kejadian itu, katanya dia berada di rumah rakannya di Bukit Indera Muda sekitar 8.30 malam Sabtu sebelum didatangi lelaki berkenaan yang menendang pintu rumah.

"Dia kenal kawan saya, sebab itu dia datang sana (Bukit Indera Muda). Dia datang dalam keadaan agresif dengan bertindak menendang pintu dan sebaik ia dibuka dia masuk bilik air sebelum meminta salah seorang daripada kami hantarkannya ke rumah kakaknya di Sungai Bakap. Bila kami tak mahu, dia ugut nak ambil motosikal saya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Khairul berkata, Mohd. Khairulnizam bertindak menunggang motosikalnya dan membawanya ke Sungai Bakap melalui jalan Bukit Teh di Bukit Mertajam, tetapi dia tidak dapat ingat laluan selepas itu berikutan dikelilingi ladang kelapa sawit.

"Tiba di Sungai Bakap, kakak dia (Mohd. Khairulnizam) tiada di rumah. Selepas itu dia bawa saya ke rumah rakannya juga di Sungai Bakap, tetapi rakannya itu juga tak ada. Kemudian dia berpatah balik ke Bukit Teh, melalui Machang Bubok, seterusnya ke rumah rakannya di Bandar Perda dan Bukit Mertajam. Namun mereka juga tiada di rumah.


"Sepanjang perjalanan, macam-macam perkara yang bermain di fikiran. Saya tak berani jerit minta tolong sebab takut dia buat sesuatu yang mungkin mengancam nyawa saya. Tetapi, sebaik tiba di Bukit Mertajam, saya mendapat akal dan minta untuk menunggang motosikal lalu bawanya ke Berapit dan beritahu dia di sana selamat jika hendak bersembunyi," katanya.

Mohd. Khairul berkata, dia memberanikan diri untuk berbuat demikian selepas melihat lelaki itu seperti terdesak untuk menyembunyikan diri kerana enam hari menjadi buruan polis.

"Saya sengaja buat helah dengan minta dia (Mohd. Khairulnizam) main Internet dahulu di kafe Internet (Berapit) sebab nak ambil adik balik kerja dan berjanji untuk datang semula mengambilnya di sana selepas itu. Dia kata tak ada duit dan saya beri dia RM5.

"Sebaik berjaya melepaskan diri, saya terus memecut motosikal ke balai polis (Kubang Semang) dan maklumkan kepada polis dia ada di sana," katanya.

Sementara itu, Muhamad Shafiq Abdul Rahman, 18, berkata, salah seorang tahanan iaitu Mohd. Farid Akhtar, 24, datang ke kedai bapanya di Kampung Petani, di sini meminta makanan dan minuman sebelum ditahan polis di situ.

Katanya, lelaki itu dilihat berjalan kaki seorang diri kira-kira 8.30 malam dalam keadaan tidak bermaya serta tidak memakai kasut sebelum beberapa pelanggan yang ada di situ memanggilnya ke kedai.

"Mereka tidak sangka dia merupakan tahanan yang dicari polis berikutan keadaan fizikalnya berbeza di dalam gambar yang diedarkan.

"Kami hanya tahu dia tahanan selepas dia sendiri minta pelanggan di situ hantarnya ke balai polis berdekatan. Kami telefon polis dan mereka datang 15 minit kemudian. Sebelum itu, mereka (pelanggan) beri dia makan nasi lemak dan minta saya bancuhkan teh "o" ais kepadanya," katanya.

Muhamad Shafiq berkata lelaki terbabit turut memberitahu rakan tahanannya itu sudah membuat perancangan untuk melarikan diri sejak enam bulan lepas dan merancang akan terus ke negara jiran jika berjaya.

Semalam, polis menahan Mohd. Farid Akhtar, 24, ketika meminta makanan di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Semang pada 9 malam, manakala Mohd. Shahrimi Mohd. Noor, 28, menyerah diri di Pasar Awam Penanti pada 10 malam, sementara Mohd. Khairulnizam Abdul Rani, 26, ditahan dalam sebuah kafe Internet di Berapit, Bukit Mertajam di sini pada 1.15 pagi.

Dalam kejadian 9 pagi Isnin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis.

Dua tahanan yang ditembak mati ialah Mohd. Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd. Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia.
-Bernama

No comments:

Post a Comment