Followers

Digital clock

Saturday, 12 January 2013

Polis yakin tahan 2 lagi suspek



Polis yakin dapat menahan dua daripada lima tahanan yang meloloskan diri daripada tahanan polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth Isnin lepas, dalam masa terdekat.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata berdasarkan risikan polis percaya dua lelaki terbabit masih berada di sekitar Ara Kuda di sini.

"Kami mendapat maklumat mengenai pergerakan mereka dan kami juga mendapat maklumat lima tahanan yang masih bebas itu telah berpecah kepada dua kumpulan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi Isnin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Dua daripada tahanan berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini semalam.

Abdul Rahim berkata polis turut mendapat maklumat bahawa dua lelaki terbabit telah menukar pakaian mereka dengan memakai baju lengan panjang bagi mengelak dikesan polis dan mengelirukan orang ramai.

"Sekali lagi saya beri amaran kepada orang ramai dan penduduk kampung di sini supaya jangan sekali-kali memberi bantuan kepada mereka (tahanan), jika ada orang yang mencurigakan datang ke rumah terus hubungi polis," katanya.

Abdul Rahim berkata polis menambah kekuatan anggota dari 250 orang kepada 270 orang termasuk dari Unit Udara Bukit Aman dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta memperluas kawasan operasi sehingga sempadan Baling dan Pengkalan Hulu.

"Berdasarkan maklumat, lima tahanan terbabit tiada kenderaan dan bergerak dengan hanya berjalan kaki...yang pasti mereka masih berada dalam hutan," katanya.

Dua tahanan yang ditembak mati semalam ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia.

Mereka yang masih diburu ialah Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, Mohamad Farid Akhtar, 24, Hamzani Harun, 37, Mohamad Khairulnizam Abdul Rani, 26, dan Hisham Abdul Rahman, 39.
- Bernama

No comments:

Post a Comment